ARTIKEL USAHAWAN GRADUAN


Lima sekawan urus acara
Oleh ADLAN JAAFAR

PADA Ramadan lalu, OneHeart Solution mengadakan aktiviti amal dengan membikin klip video mengenai kebaikan bulan puasa.


SEGALA-GALANYA bermula apabila lima orang sahabat tahun akhir pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebagai pelajar yang aktif dengan aktiviti kokurikulum seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Kelab Maaruf dan Persatuan Kejuruteraan memberi pendedahan kepada mereka menguruskan sesebuah majlis.

Menyedari mereka memiliki pengalaman, seorang pelajar itu pasti akan berkira-kira tentang masa hadapan. Sebaik sahaja tamat pengajian, mereka menubuhkan OneHeart Creative Solution.
OneHeart dimiliki oleh Ahmad Huzaifah Ahmad Shahrir, Suhairil Izham Suroya, Nur Shahidat Mohamed, Hidayatul Karimah Mohd. Mahyuddin dan Ahmad Taufiq Iqbal Abd. Rani.
Lebih gemar memanggil ‘bayi’ baharu mereka itu sebagai OneHeart, syarikat tersebut menjadikan pengurusan majlis dan pembekal perkhidmatan teknikal sebagai perniagaan utama.
Kesemua mereka berumur 24 tahun kecuali Izham yang berusia 25 tahun. Selain itu, mereka juga mampu menyediakan 30 orang pekerja separuh masa yang terdiri daripada rakan-rakan dari UIAM bergantung kepada situasi. 

Selepas yakin dengan keputusan yang dibuat, mereka pun duduk bersidang di salah sebuah bilik kuliah di UIAM bagi membincangkan konsep dan idea syarikat yang bakal beroperasi itu.
Menurut Huzaifah, suasana perbincangan sekitar bulan Februari 2010 itu persis sekumpulan pelajar sedang mengadakan perbincangan dalam kumpulan.

Hasil mesyuarat itu, mereka berjaya mengadakan sebuah konsep yang terdiri daripada nama syarikat dan logo yang telah diguna pakai sehingga kini.
“Sasaran pertama kami waktu itu adalah menghebahkan kewujudan kami di laman sosial Facebook. Ideanya adalah jika seorang daripada kami mempunyai kira-kira 2,000 kenalan maka sudah 10,000 orang mengetahui OneHeart,” terang Huzaifah ketika ditemui di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.


DARI kiri: Taufiq, Huzaifah, Shahidat, Hidayatul dan Izham merupakan tulang belakang OneHeart Solution.


Huzaifah yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif OneHeart mengakui memulakan perniagaan tanpa memiliki sebarang modal permulaan amat sukar.
“Cuma pengalaman dan pengetahuan sahaja yang dijadikan sebagai bekalan kami. Malah, ibu bapa kami juga tidak menaruh kepercayaan,” luah Huzaifah yang turut sama diakui ahli yang lain.
Namun, tatkala mereka menganjurkan majlis bertajuk, Seminar Buat Duit Cara Mawardee pada bulan Mac lalu, kepercayaan orang ramai mula meningkat.

Tambah Shahidat, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 anjuran akhbar Kosmo dan Daisy yang berlangsung selama sebulan pula benar-benar mencabar tahap kemampuan OneHeart tetapi ia amat berbaloi.
“Kesannya, ibu bapa kami yang skeptikal pada peringkat permulaan sudah menaruh kepercayaan dan langkah kami seterusnya lebih yakin,” ujar wanita yang bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi OneHeart.
Sehingga kini, perniagaan mereka bukan sahaja memfokus kepada pengurusan majlis tetapi telah berkembang dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti fotografi, rakaman suara dan kedai buku secara talian.
Pada bulan Jun lalu, kelima-lima anak muda itu sudah boleh melakukan kerja-kerja pengurusan syarikat dengan lebih selesa apabila sudah berpindah ke premis tetap dengan keluasan ruang kira-kira 46 meter persegi.

Meskipun sudah boleh dikatakan sudah berada di kedudukan yang selesa tetapi ujar Karimah, mereka perlu meletakkan OneHeart sebagai keutamaan. Terutama apabila ia melibatkan pengurusan wang dan keuntungan.
“Kami mempunyai satu amaun gaji yang diterima setiap bulan tetapi tidak semestinya tetap setiap bulan. Apabila tiba bulan yang kurang mendapat projek, gaji mungkin tidak diberi tetapi elaun dalam jumlah yang kecil menjadi pengganti,” terang Karimah yang menjaga kewangan syarikat. Walaupun baru setahun OneHeart ditubuhkan, mereka amat bersyukur kerana sehingga kini akan ada projek yang perlu dilaksanakan.

“Kami sedang berbincang dengan sebuah syarikat yang berpusat di United Kingdom untuk menguruskan sebuah acara anjuran di sini,” terang Huzaifah.
Jelasnya, syarikat itu sedang dalam perancangan untuk mengadakan acara jelajah dunia, Young Entrepreneur Summit (YES) di beberapa destinasi dan Malaysia adalah salah satu lokasinya.
Bidang videografi
HUZAIFAH dan Taufiq (kanan) meneliti hasil kerja di pejabat mereka yang terletak di Batu Caves, Selangor.


Kelak, jika ia terlaksana dan kerjasama itu terjalin, OneHeart akan menguruskan majlis tersebut seluruhnya daripada pengurusan sehingga kepada menyediakan pentas dan alatan audio. Acara yang berbentuk seminar yang dirancang akan diadakan di Kuala Lumpur itu bakal diadakan pada bulan Disember ini. Selain itu, Huzaifah menambah, dalam bidang videografi pula pihak OneHeart bakal mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membuat rakaman video.

“Video tersebut akan dimuatkan dalam blog mereka sebagai salah satu interaktif baharu yang lebih dikenali sebagai vlog (video blog). “Perbincangan sudah mencapai 80 peratus tanda persetujuan dan kami berasa amat bertuah kerana bakal berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujarnya dengan wajah yang teruja. Beliau ialah salah seorang daripada tetamu undangan yang akan muncul dalam blog IRM itu.

(SUMBER:KOSMO)





Siswa usahawan
Oleh Hazwan Faisal Mohamad





Belajar menjadi usahawan
MENCEBURI bidang perniagaan tinggi risikonya, apatah pula jika dilakukan ketika masih di alam pengajian. Tanpa perancangan rapi termasuk bijak mengatur masa antara kuliah dan 'bekerja', perniagaan yang dibina boleh gulung tikar. Mampukah, siswa hari ini menjadi penuntut dan pada masa sama menjadi usahawan kecil? 
BERGELAR mahasiswa pada era globalisasi kini bukanlah suatu perkara mudah kerana mendepani pelbagai cabaran dari setiap sudut sekali gus memerlukan golongan terpelajar ini melengkapkan diri masing-masing dengan penguasaan ilmu, kemahiran, jati diri, pemikiran dan komunikasi. 

Tanpa persediaan rapi yang khusus dan jitu, dikhuatiri mahasiswa mudah tersungkur sejurus menempuh alam pekerjaan yang mengkehendaki setiap pekerja memiliki pelbagai kemahiran selain kecemerlangan akademik.
Terdapat juga yang menceburkan diri dalam dunia keusahawanan kerana menjanjikan pendapatan lumayan berbanding bekerja makan gaji, namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana tanpa ilmu yang cukup membolehkan mahasiswa kecundang.


Demi memperoleh pengalaman dalam selok-belok dunia perniagaan ada segelintir mahasiswa memberanikan diri mula berniaga ketika masih menuntut di universiti. Malah kini sudah ada yang terbabit dalam perniagaan berasaskan francais dengan mengeluarkan modal menggunakan wang sendiri dan perkara itu menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan yang diuruskan itu.
Pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Munirah Yahya, berpendapat tidak salah bagi mahasiswa terbabit dalam bidang perniagaan ketika masih belajar kerana ia membantu mereka mempelajari banyak perkara penting mengenai dunia perniagaan.


Selain itu, katanya, galakan daripada pengurusan universiti sendiri menjadikannya nekad untuk membuka perniagaan berkonsepkan francais dipanggil Ayamazz Roti Impit di bawah kelolaan syarikat KFC Holding Bhd bersama dua rakan yang lain.
"Memang diakui akan timbul masalah mengenai pembahagian masa antara akademik dan berniaga, namun sebelum memulakan perniagaan ini lagi saya sudah memikirkan segala-galanya.
"Kelas pengajian pada semester ini kebanyakannya bermula pada sebelah pagi, justeru gerai hanya akan dibuka selepas tamat kuliah hingga ke waktu malam," katanya.


Katanya, selain itu beliau dan rakannya akan bergilir-gilir menjaga gerai mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran masing-masing. Pendapat itu disokong rakannya, Azrinna Abd Aziz yang menganggap jika mahasiswa bijak membahagikan masa, tiada masalah untuk mereka berjaya dalam akademik dan bidang lain yang diceburi.


Menyentuh mengenai perniagaan yang baru dimulakannya itu, beliau berkata, idea untuk membuka gerai itu timbul selepas mengetahui maklumat berkenaan daripada rakannya dari universiti lain. Selepas itu tanpa membuang masa beliau terus mendaftar dan membuat pinjaman sebanyak RM3,500 daripada Agro Bank sebagai modal permulaan perniagaan.
"Latihan dan ceramah berkaitan pengendalian gerai turut diberi serta dibekalkan dengan Standard Pengurusan Operasi (SOP) sebagai rujukan tambahan.
"Antara cabaran dihadapi sewaktu memulakan perniagaan ini adalah apabila ada rakan yang memperlekehkan usaha ini dengan mengatakan kami tidak mampu berjaya dalam bidang ini kerana masih belajar," katanya.


UPM galakkan pelajar ceburi bidang perniagaan
KECENDERUNGAN pelajar untuk berniaga di universiti menerima reaksi positif daripada pihak pengurusan UPM yang menyifatkannya satu perkembangan baik dalam melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar.


Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan, berkata pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana pelajar untuk terbabit dalam bidang keusahawanan, malah lebih menggalakkan kerana ia termasuk antara agenda kritikal Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Selain itu, KPT juga telah mewajibkan semua pelajar di universiti untuk mengambil subjek keusahawanan sebanyak dua jam kredit bagi memperkukuhkan kemahiran insaniah mereka. Katanya, selain subjek keusahawanan, UPM sendiri turut mengambil langkah proaktif apabila sering menghantar pelajar ke mana-mana pertandingan atau program berkaitan keusahawanan.


"Tujuan kita menghantar pelajar menyertai program sebegitu ialah untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai bidang keusahawanan yang sebenar supaya mereka mengetahui ‘sepak terajang’ sebenar dunia berkenaan dan bersedia apabila sudah tamat pengajian kelak.
"Kerana itu saya berbangga apabila ada pelajar UPM terbabit dalam bidang keusahawanan termasuk sudah ada yang berjaya membuka nurseri orkid milik sendiri," katanya.


Mengenai masalah yang boleh timbul kepada pelajar akibat berniaga ketika belajar, beliau berkata, ia antara cabaran yang perlu dihadapi mereka jika mahu berjaya dalam kedua-dua bidang berkenaan.
"Malah di sinilah (universiti) tempat yang sesuai untuk mereka belajar mengenai dunia perniagaan kerana jika melakukan kesalahan masih boleh diperbetulkan dengan mendapat teguran daripada pensyarah, tetapi bagaimana jika di luar, siapa yang akan berbuat demikian.


"Justeru bagi saya zaman belajar adalah masa terbaik untuk pelajar melakukan kesilapan supaya dari situ mereka boleh mempelajari sesuatu dan tidak mengulanginya lagi apabila berada di dunia perniagaan sebenar di luar kelak," katanya. 

(SUMBER:BERITA HARIAN)





Siswazah sahut cabaran ceburi bidang ternakan
Oleh LAUPA JUNUS
Lambang kejayaan... Harfirdaus Che Lah bersama kakitangannya di hadapan kedai jualan mereka di Saujana Impian, Kajang.



Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah.

Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan sedang, ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Justeru, `haluan' yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan.
“Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini.


Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikiranya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan.

Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd. itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung.
Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing.
Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka.

“Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus.
Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor.

Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak.
Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih.

Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti.
Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan.

Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti.Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta
Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah.

Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit.Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya,
Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri.

Mengenai konsep francais, beliau percaya dapat mengembangkan lagi usaha tersebut melibatkan 10 buah cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.Info ringkas mengenai industri penternakan ruminan:

* Kadar sara diri (SSL) bagi lembu dan kambing masih rendah iaitu masing-masing 18 peratus dan sembilan peratus.
* Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) serta Pelan Imbangan Dagangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran SSL 40 peratus bagi lembu dan 35 peratus bagi kambing menjelang 2010.
* Bagi mencapai sasaran tersebut, pengeluaran lembu dan kerbau yang diperlukan ialah sebanyak dua juta ekor.
* Lebih 723,000 ekor lembu betina dan lebih 338,000 ekor lembu disembelih dengan mengambil kira 60 peratus kelahiran dan 40 peratus lagi baka pembiak.
* Bagi industri kambing pula, lebih satu juta ekor diperlukan dengan bilangan pembiak lebih 380,000 ekor dan yang disembelih 3000,000 ekor setahun menjelang 2010.
* Pada masa ini, dianggarkan terdapat 23,800 pernternak terdapat di negara ini meliputi semua komoditi ternakan.
- Penternak lembu- 13,950 orang
- Penternak kambing-3,544 orang
- Industri kambing:
- Penternak tradisional- 75 peratus
- Penternak semi komersial- 15 peratus
- Penternak komersial-10 peratus
Antara projek utama:
* Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara seluas 4-5 hektar dio Pondok Tanjung, Taiping Perak
* Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan
Info:
* Khidmat penyajian makanan berbeku kambing Boer disediakan
* Waktu perniagaan: Pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
* Khidmat penghantaran disediakan bagi tempahan melebihi RM30.
* Alamat: Perfect Fresh and Frozen, No 15, Jalan Impian Murni 1/5, Saujana Impian, 43300 Kajang Selangor.
* Telefon : 012-2686845

(SUMBER:UTUSAN)





Lumayan berniaga online
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

BAGI pasangan muda Atikah Ashari dan Iskandar Zulkarnain masing-masing berusia 23 tahun, berniaga menerusi Internet mampu memberikan pulangan lumayan. Pasangan yang baru mendirikan rumah tangga pada Mei lalu menumpukan perhatian kepada jualan tudung.


Atikah yang lebih dikenali sebagai Ika di kalangan rakan-rakan facebooknya juga amat popular menerusi laman web www.radiusite.com. Dia yang minat berniaga sejak sekolah rendah lagi telah mencuba pelbagai jenis perniagaan tetapi terhenti separuh jalan.


"Saya selalu menjenguk mudah.com atau apa saja perniagaan online. Dari situ bermula minat saya untuk cuba berniaga menerusi Internet," katanya yang memulakan perniagaan tersebut sejak setahun lalu.
Siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pelancongan itu belajar membuka blog untuk memasarkan tudung.


Di peringkat awal, dia mengakui kurang mendapat sambutan kerana mungkin disebabkan gambar-gambar yang diambil kurang menarik.Namun Atikah tidak mudah mengalah. Dia bersungguh-sungguh membangunkan blognya dengan paparan gambar menarik sehingga berjaya dikunjungi ramai. Bermodalkan RM500 di peringkat permulaan, siapa sangka pasangan muda itu pernah dilonggokkan dengan 1,000 helai tudung. Mereka berjaya menjualnya dalam tempoh seminggu menerusi online.


Malah tudung jenis Balqis pernah terjual sebanyak 496 helai dalam masa dua hari.Ditanya rahsia sambutan memberangsangkan, Atikah memberitahu, kualiti menjadi keutamaan. Dia juga memastikan setiap hiasan pada tudung seperti manik dijahit teliti untuk memastikan kepuasan pelanggan.Melihat laman web Radiusite, ternyata Atikah sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan. Selain itu dia juga memberi tunjuk ajar tentang cara pemakaian tudung. Justeru, tidak hairan sambutan yang diterimanya sangat menggalakkan.
Biar pun menjalankan bisnes menerusi Internet tampak mudah tetapi bagi Atikah dan pasangannya, mereka perlu menguruskan segala-galanya tanpa mengenal waktu.


Adakalanya mereka bertungkus lumus membungkus kemas lebih 200 bungkusan sehari dan memastikan setiap alamat dicatatkan dengan betul supaya barang yang dipesan sampai dengan selamat. Mengenai cabaran menceburi perniagaan online, Atikah memberitahu, secara keseluruhannya tidak banyak kesulitan kecuali ada pelanggan yang agak cerewet selain masalah yang sama seperti dihadapi Nurhafiza iaitu pelanggan tidak memaklumkan status tempahan.


''Apabila pelanggan buat tempahan, biasanya kami akan tunggu pengesahan, nak jual pada orang lain tak sampai hati.
''Tapi masalahnya ramai yang buat tempahan kemudian hilang tanpa membatalkan pesanan,'' katanya.


(SUMBER:UTUSAN)






Raihanna, bakal doktor pakar kek
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD IQBAL ROSLI
Raihanna Kamaruddin



SENI kulinari adalah 'cinta' pertama gadis ini, namun keputusan peperiksaan yang cemerlang membuatkan dia ditawarkan mengikuti kursus perubatan di Russian State Medical University, Moscow.
Mengejar dua bidang berbeza yang menjadi minatnya lalu dia berazam untuk bergelar doktor yang pakar dalam membuat kek.
"Bagi saya membuat kek umpama sesi terapi terutama ketika stres berdepan dengan pengajian yang semakin sukar," ujar, Raihanna Kamaruddin, 23.
Gadis manis ini mengakui menuntut ilmu di negara orang memang ada cabarannya tersendiri apatah lagi apabila ia dijalankan sepenuhnya dalam bahasa tempatan.
Gadis ini perlu melipatgandakan usaha mentafsir makna dan menguasai bahasa Rusia demi menjawab soalan peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya kelak.
"Bukan sekadar masalah bahasa, kelas yang terletak jauh antara satu sama lain dan cuaca yang sejuk memang cukup menyukarkan," ujar Raihanna yang ditemui di Puchong, Selangor, ketika cuti semester baru-baru ini.
Justeru Raihanna menyifatkan minatnya membuat kek adalah sebagai salah satu terapi untuk dirinya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sebagai pelajar di sana.

Tanpa mengabaikan tanggungjawab hakikinya sebagai pelajar perubatan, dia meneruskan minat dan kepakarannya menghasilkan pelbagai jenis kek, tart, macarons, kek cawan dan sebagainya.
Bukan sekadar untuk diri sendiri bahkan Raihanna menerima tempahan melalui blog nya www.raihannavanilla.blogspot.com.

Blog tersebut ditulis dan ditadbir sendiri bagi berkongsi pengalaman belajar, kisah suka duka dan paling utama memuat turun gambar kek serta masakan yang pernah dihasilkan. Ilmu dituntut secara 'tidak rasmi' menerusi laman YouTube, namun jika pulang ke tanah air, Raihanna pasti tidak melepaskan peluang menghadiri kelas pembuatan kek. Pada awalnya, ibu bapanya tidak begitu menyokong minat anak sulung mereka dalam bidang kek dan pastri kerana mahukan dia menjadi doktor.

Dalam diam Raihanna menggunakan duit poketnya sendiri untuk menuntut ilmu membuat kek.
"Saya dah macam ketagih, asal balik bercuti saja mesti mahu pergi kelas buat kek. Mungkin mama dan papa saya memahami minat saya yang terlalu kuat akhirnya papa menghadiahkan saya sebuah ketuhar dan pemutar kek," ujar Raihanna. Berkat kesungguhan dan minat, gadis ini turut boleh berbangga apabila dapat menghadiahkan adiknya sebuah komputer riba dengan hasil jualan keknya.

"Di Moscow saya tinggal di asrama, hanya terdapat sebuah ketuhar. Bayangkan saya perlu berebut dengan pelajar lain. "Untungnya berniaga di sana kebanyakan orang Rusia tidak begitu mahir seni perhiasan kek, yang mereka tahu kek yang sedap dimakan sahaja, jadi apabila kita menghasilkan kek yang bukan sekadar sedap bahkan cantik mereka menghargai dan dari situ saya mula menerima banyak tempahan.

"Biasanya saya mula membuat kek selepas kelas tamat pada jam empat setiap hari. Pukul 10 malam saya akan tidur dan akan bangun semula pada pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran," jelasnya yang amat meminati membuat kek berbentuk anak patung 'Barbie'. Mengenai barang mentah pula, Raihanna selesa jika mendapatkannya terus dari Malaysia kerana sukar untuk mendapatkan yang halal di Rusia.

Bapanya akan mengepos barangan mentah yang diperlukan anaknya dalam keadaan sejuk beku.
"Alhamdulillah, sekali jual saya mendapat kira-kira 300 ringgit, bukan sekadar kek, jika ada hari sukan atau karnival jualan, saya dan kawan akan bekerjasama menjual makanan seperti nasi lemak dan sebagainya," jelas Raihanna yang bercita-cita menjadi pakar perbidanan satu hari nanti. Impian Raihanna adalah untuk mewujudkan sebuah kedai kek dan di sebelahnya klinik dia sendiri. "Buat kek adalah satu terapi untuk saya, memasak adalah kepuasan sebenar. Menjadi cita-cita saya untuk menjadi wanita Melayu pertama yang berjaya dalam bidang bakeri dan perubatan," jelasnya.

(SUMBER:UTUSAN)