TAN SRI T. ANANDA KRISHNAN

 





TAN SRI T. ANANDA KRISHNAN, 71
PENGASAS,
Usaha Tegas Sdn Bhd.
Bisnes Utama : Media & Telekomunikasi, Tenaga
Kekayaan : RM27 Billion



Tatparanandam Ananda Krishnan (lahir 1938) merupakan usahawan yang kedua terkaya di Malaysia serta yang ke-138 di dunia, dengan nilai bersih yang dianggarkan sebanyak AS$4 bilion, menurut Majalah Forbes (2005). Beliau terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuknya minyak, penternakan kuda bibit (di Australia), perjudian, studio kartun Hollywood, telekomunikasi, multimedia, perkapalan, tenaga, dan harta tanah. Syarikat-syarikatnya beroperasi di kebanyakan tempat di Asia Tenggara.
Pada tahun 1985, bersama Bob Geldof dari Britain, Ananda menjadi penaja konsert Band Aid yang sulung dan yang memainkan peranan penting dalam pengenalanLive Aid ke Asia Beliau tidak suka menonjolkan diri dan sentiasa memeliharakan profil yang rendah, akan tetapi kegiatan-kegiatan perniagaannya yang amat berjaya selalu menyebabkannya menjadi perhatian ramai.
Dilahirkan di Brickfields yang merupakan “India Kecil” kepada Kuala Lumpur, Ananda ialah anak kepada sebuah keluarga Tamil daripada Sri Lanka. Sewaktu kecil, beliau seorang kanak-kanak gagap.
Ananda belajar di Sekolah Tamil Vivekananda di Kuala Lumpur dan kemudiannya di Institusi Victoria, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Mudanya (Kepujian) daripada Universiti Melbourne, Australia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada tahun 1964. Ananda pernah berkahwin dengan seorang puteri Thailand sewaktu muda lagi.
Ananda membeli 46% daripada ekuiti Maxis daripada Telekom British dan AT&T dengan harga sebanyak AS$680 juta dan menaikkan hak miliknya menjadi 70%. Maxis ialah syarikat telefon bimbit yang terbesar di Malaysia, dengan jumlah pengguna melebihi 8 juta, dan bahagian pasaran tempatan melebihi 40%.
Ananda juga merupakan ketua Astro All Asia Networks Plc yang merupakan rangkaian televisyen berbayar yang sulung di Malaysia. Beliau juga mempunyai rangkaian pawagam multipleks yang memegang lebih daripada 800 judul filem, serta memiliki sebahagian daripada TVB.com (cabang interaktif kepada penyiar utama di Hong Kong) dan arkib filem Shaw Brothers.
Pada tahun 1996, Ananda melancarkan satelit perhubungan Malaysia yang sulung, berikut kemudian dengan satelit yang kedua, melalui syarikatnya Binariang Satellites Systems Sdn Bhd. Bagaimanapun, kegawatan ekonomi yang melanda negara-negara Asia Tenggara mengurangkan keuntungan syarikat itu dan memaksanya memberhentikan sejumlah pekerja-pekerja dan menangguhkan beberapa projek multimedianya.
Ananda kini merupakan Rupert Murdoch Asia Tenggara. Apa yang membezakan Ananda daripada kroni-kroni yang lain ialah beliau telah berjaya mengumpulkan harta kekayaan berjuta-juta ringgit melalui usahanya di luar negara sebelum mengalihkan pandangan ke dalam negara.



(SUMBER: Harian Metro)